10 Zulhijjah 1430 Hijrah bersamaan 27 November 2009: Aidiladha merupakan perayaan yang dirayakan umat Islam di seluruh dunia. Ia merupakan sambutan terbesar dan teristimewa dalam agama Islam selain Aidilfitri. Aidiladha disambut pada 10, 11. 12 dan 13 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, ia diikuti dengan solat sunat Aidiladha, khutbah pada pagi 10 Zulhjjah dan kemudian dilangsungkan ibadah korban yang boleh dilakukan pada siang 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.
Berbeza dengan sambutan Aidilfitri, Aidiladha biasanya disambut secara sederhana oleh kebanyakan masyarakat Islam di negara kita. Ada sebahagian masyarakat Islam gagal untuk menghayati maksud sebenar disebalik sambutan Hari Raya Aidiladha ini, berbeza dengan sambutan mereka ketika menyambut Aidilfitri. Ini menunjukkan penghayatan terhadap pengertian Aidiladha yang besar itu tidak lagi wujud dalam masyarakat kita. Dalam tradisi masyarakat Melayu, Aidilfitri atau yang disebut Hari Raya Puasa disambut besar-besaran. Bahkan dalam masyarakat Melayu pada hari ini Hari Raya Aidilfitri disambut sehingga sebulan.
Hal ini berbeza dengan suasana di Tanah Arab. Sambutan besar sebenarnya lebih tertumpu kepada Aidiladha atau yang disebut Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban oleh masyarakat Melayu. Ini berlaku kerana sambutan Aidilfitri sebenarnya hanya disambut dalam satu hari sahaja, bahkan takbir untuk Aidilfitri hanya bermula dari malam 1 Syawal sehingga selesai solat sunat Aidilfitri. Ini berbeza dengan Aidiladha di mana takbir bermula dari malam 10 Zulhijjah sehingga ke tamat hari Tasyrik iaitu pada 13 Zulhijjah. Ini bermakna Aidiladha disambut selama tiga hari dengan dipenuhi dengan ibadah haji dan korban.
Sesungguhnya kita umat Islam sangat bertuah kerana dianugerahkan nikmat Aidil Adha sebagai lambang pengorbanan, kehebatan dan keunggulan umat sejagat. Di mana kehebatan dan keunggulan itu dipamerkan pada pengorbanan Nabi Ibrahim kepada Allah S.W.T. yang telah menerima perintah supaya berkorban dengan menyembelih anak kesayangannya sendiri, iaitu Nabi Ismail.
Unggulnya umat Islam itu juga dapat dilihat dalam satu perhimpunan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang saban tahun berkumpul dalam satu perhimpunan agung di tanah suci Mekah dengan natijah pengorbanan masing-masing iaitu untuk menjunjung tinggi kalimah tauhid. Sementara mereka yang tidak dapat bersama-sama untuk menjejak kaki di Mekah pula akan bersiap sedia untuk membuat pengorbanan masing-masing dengan korban-korban dari kalangan binatang ternak yang terpilih dan terbaik di pagi Aidil Adha dan beberapa hari berikutnya sebagai lambang kebersamaan dalam ubudiah kepada Allah.
Selamat Menyambut Hari Raya AidilAdha 1430 Hijrah.
Petikan artikel daripada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Thursday, 26 November 2009
Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha 1430 Hijrah
Share
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment